PLKN 3.0 intervensi bina generasi bertanggungjawab

PLKN 3.0 intervensi bina generasi bertanggungjawab

MOHAMED Khaled Nordin berucap ketika majlis pelancaran program latihan khidmat negara 3.0 dan penyampaian watikah pelantikan ahli majlis latihan khidmat negara. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) sebagai langkah intervensi penting memupuk semangat tanggungjawab dan patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, meskipun tidak semua rakyat bersikap patriotik sepenuhnya, program ini dapat membentuk masyarakat yang lebih sedar akan peranan dan tanggungjawab terhadap negara.

Katanya, generasi muda perlu faham kepentingan perpaduan, cakna terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara serta sanggup berkorban demi tanah air. 

“PLKN 3.0 bukan hanya soal latihan, tetapi pembinaan jati diri bangsa. Kita mahu generasi muda, wujud sekumpulan anggota masyarakat yang cakna akan isu-isu keselamatan dan kedaulatan serta faham kepentingan perpaduan keupayaan bertoleransi terhadap perbezaan dan sanggup memberikan yang terbaik kepada negara ini,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pra-Pelancaran PLKN 3.0 dan Pelantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di Wisma Pertahanan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan bukan sahaja menyokong usaha memperkenalkan semula PLKN 3.0, tetapi turut nekad memberikan yang terbaik dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya. 

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan ahli MLKN, Mohamed Khaled berkata ia adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap pengalaman dan kepakaran yang akan menyumbang kepada kejayaan program ini.

Beliau yakin barisan ahli MLKN kali ini terdiri daripada individu berpengalaman pelbagai latar belakang dan gabungan berkenaan penting untuk memastikan setiap dasar dan keputusan  diambil adalah inklusif dan mewakili kepelbagaian masyarakat kita.

“Pelantikan ahli majlis diharap dapat mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti, keseriusan dan matlamat murni PLKN 3.0.

“Perlantikan ini merupakan pengiktirafan terhadap keupayaan dan pengalaman semua ahli majlis. Ia juga merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh dedikasi bagi memupuk kesedaran terhadap pelatih akan semangat patriotisme,” katanya.

Seramai 10 ahli MLKN dilantik selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 14 April lalu, selaras Seksyen 7, Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628). 

Mereka akan bertugas selama tiga tahun lantikan sehingga pelantikan baharu oleh Agong dan bertanggungjawab memberi nasihat kepada kerajaan, merangka dasar strategik PLKN, memantau pelaksanaan program, serta menyelaras penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya