PETALING JAYA: Pihak perusahan kecil dan sederhana (PKS) perlu memahami kepentingan pemasaran digital dan e-dagang yang dapat membantu mereka bergerak maju dan mencapai sasaran perniagaan dengan lebih berkesan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata PKS perlu memanfaatkan pelbagai platform dalam talian yang turut dapat mengubah cara mereka mengendalikan perniagaan.
“Kebanyakan PKS mempunyai pengetahuan asas mengenai dunia digital, namun persoalannya adakah mereka benar-benar mengaplikasikan teknologi tersebut dalam operasi harian.
“Jika kita memiliki pengetahuan tetapi tidak menggunakan teknologi untuk memperkasakan perniagaan, maka itu menjadi satu kekangan. Kita perlu menerima hakikat teknologi akan terus mengubah cara kita berniaga.
“Kita semua boleh belajar daripada Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin dan pasukannya di Mydin. Mereka telah mempertingkatkan perniagaan dengan memperkenalkan dompet elektronik MydinPay, melancarkan platform e-dagang dan terus aktif dalam media sosial,” katanya selepas merasmikan CTOS SME Biz Day di sini hari ini.
Mengulas Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI), beliau berkata, kementerian akan memperluaskan usaha untuk membantu PKS beralih kepada operasi berasaskan teknologi digital, khususnya di kawasan yang kurang mendapat tumpuan dan akses terhadap teknologi tersebut.
“Inisiatif ini baru sahaja dilancarkan lebih sebulan lalu, dan saya telah meminta pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mengemukakan laporan berkaitan perkara ini.
“Laporan tersebut perlu merangkumi bagaimana inisiatif ini dapat diperluaskan kepada semua golongan, apakah cabaran utama yang dihadapi oleh PKS serta cadangan penambahbaikan agar kita dapat terus bergerak ke hadapan dengan lebih berkesan,” katanya.
Walaupun pendigitalan menawarkan pelbagai manfaat, Gobind berkata, ia juga datang dengan cabaran dan aspek keselamatan siber mesti dijadikan keutamaan.
“PKS mesti melindungi data mereka untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan. Bagi memastikan kelangsungan operasi, CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital, telah melancarkan Akademi Keselamatan Siber.
“Ia memainkan peranan penting dalam memperkukuh ketahanan siber negara kita dengan menangani kekurangan dalam bidang keselamatan siber melalui kursus pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional,” katanya.-UTUSAN