PKHNJ sasar 500 syarikat halal daftar setiap tahun

PKHNJ sasar 500 syarikat halal daftar setiap tahun

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030 yang akan dilancarkan pada tahun ini menyasarkan sebanyak 500 syarikat merdaftar setiap tahun.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan yang sedang diperhalusi itu bagi memperkasakan ekosistem halal secara menyeluruh dan usaha penting untuk meletakkan Johor sebagai negeri pertama mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal yang holistik.

“Pelan itu akan menjadi platform untuk mempercepatkan proses pensijilan, menawarkan insentif menyeluruh kepada syarikat serta usahawan tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.

“Dengan semakin banyak pelabur hadir di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelan ini bakal menjadi pemangkin penting dalam menarik syarikat halal antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi, berkembang dan berinovasi di Johor,” katanya dalam satu kenyataan selepas mendengar sesi Pembentangan PKHNJ 2030 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, pelan itu akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menghasilkan produk halal bertaraf global dan membina rangkaian keusahawanan tempatan yang kompetitif.

Kerajaan negeri bersama-sama PIJ Holdings, PIJ Halal Ventures, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan terus memperkukuh kerjasama bagi menyokong syarikat-syarikat yang telah berjaya agar dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi menerusi sokongan pelaburan dan pengembangan pasaran.

“Insya-Allah, menerusi pelaksanaan berfasa dan pemantauan yang teliti, pelan ini akan memberi impak langsung kepada Johor dengan memperkukuhkan kedudukan sebagai hab ekonomi halal, seterusnya menjadikan negeri ini sebagai contoh pembangunan ekonomi Islamik yang progresif di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN