PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan anak syarikatnya dikecualikan daripada keperluan memiliki lesen operasi di Sarawak.
Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Petronas masih perlu mengemukakan permohonan serta memaklumkan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bagi tujuan tersebut.
Katanya, pengecualian itu berdasarkan kedudukan Petronas sebagai syarikat nasional, namun tertakluk kepada pemakluman rasmi kepada pihak kementerian.
“Mereka dikecualikan jika memohon. Namun mereka perlu memaklumkan kepada kita terlebih dahulu sebelum diberi pengecualian.
“Petros ialah pengagregat gas utama di Sarawak, tetapi kuasa pemberian lesen kekal di bawah MUT. Petronas kita beri pengecualian kerana statusnya sebagai syarikat milik negara,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Menurut Abang Johari, kefahaman itu dicapai melalui hasil rundingan bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menerusi perisytiharan yang ditandatangani kedua-dua pihak, semalam.
Jelasnya, semua urusan berkaitan sektor gas di Sarawak pada masa akan datang perlu melalui Petros, sejajar dengan tanggungjawab syarikat itu dalam mengurus serta mengawal selia pengagihan bekalan gas di negeri ini.
Beliau menegaskan, prosiding undang-undang membabitkan Petros dan Petronas tidak terbatal meskipun deklarasi bersama telah dimeterai.
“Deklarasi ini tidak menjejaskan sebarang tindakan mahkamah sedia ada. Perkara ini diserahkan sepenuhnya kepada sistem perundangan untuk ditangani mengikut proses sewajarnya.
“Andai kata perlu digantung atau ditarik balik, ia tetap bergantung kepada proses yang ditentukan oleh pihak berkuasa undang-undang,” katanya. – UTUSAN