Peserta luar negara meriahkan Musim Candat Sotong Terengganu

Peserta luar negara meriahkan Musim Candat Sotong Terengganu

RAZALI Idris (empat dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Musim Candat Sotong Terengganu 2025 di Jeti Marang, Marang, Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seramai 210 peserta termasuk dari luar negara memeriahkan Program Candat Sotong Terengganu 2025 sempena Majlis Pelancaran Musim Candat Sotong di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 50 peserta dari luar negara iaitu Thailand, Bangladesh, Chile dan France.

Katanya, penyertaan peserta luar negara itu bukan sahaja membantu mempromosikan industri pelancongan Terengganu, malah merancakkan lagi agenda promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Keunikan program mencandat sotong yang bertemakan Pakat Maghi Candat Sotong 2025 telah menarik perhatian para pempengaruh media sosial, media elektronik dan media perdana dari negara luar.

“Candat sotong merupakan ikon pelancongan negeri yang telah diiktiraf dan dimasukkan di kalendar pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia bukan sekadar aktiviti rekreasi,\ tetapi simbol warisan budaya masyarakat laut Terengganu,” katanya pada majlis perasmian Musim Candat Sotong 2025 di Jeti Pelancongan Marang, di sini hari ini.

Razali berkata, pada tahun ini, sebanyak 3,000 bot yang membawa seramai 30,000 pelancong akan membanjiri perairan Terengganu untuk aktiviti candat sotong bermula April hingga Ogos ini.

“Aktiviti tersebut dijangka memberi pulangan atau janaan ekonomi lebih RM7.5 juta kepada pengusaha bot, hotel, pengusaha inap desa dan peniaga tempatan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN