KUALA TERENGGANU: Seorang pesara perbankan dan penganalisis kewangan mengalami kerugian RM824,496 selepas menjadi mangsa pelaburan tidak wujud dalam dua kejadian, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian pertama melibatkan seorang pesara berusia 64 tahun yang mengalami kerugian RM677,146.00 ditipu dalam skim Pelaburan Kasino.
Menurutnya, pada awalnya, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki tidak dikenali yang memperkenal diri sebagai Marvin Lee melalui aplikasi WhatsApp pada pukul 1 petang, 9 Januari lalu.
“Pengadu juga mengakui menjalin hubungan cinta di alam maya dan terpedaya dengan ajakan Marvin Lee untuk menyertai satu skim pelaburan kasino yang berpengkalan di Singapura.
“Pengadu diminta membuat pemindahan wang ke dalam beberapa akaun syarikat dan individu serta jumlah keseluruhan pemindahan wang yang dibuat adalah berjumlah RM677,146. Setelah pemindahan wang dibuat, pengadu masih juga belum menerima keuntungan daripada pelaburan itu sehingga ke hari ini,” katanya hari ini.
Azli berkata, mangsa kedua pula melibatkan seorang penganalisis kewangan berusia 42 tahun yang mengalami kerugian RM147,350 akibat ditipu pelaburan tidak wujud pada Februari lalu.
Katanya, sepanjang urusan dibuat, pengadu membuat 13 kali transaksi bayaran pelaburan ke dalam lima akaun bank berbeza.
“Bagaimanapun, pengandu pengadu tidak pernah memperolehi apa-apa keuntungan daripada pelaburan yang telah dilaburkan sehingga hari ini. Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN