PUTRAJAYA: Pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM hari ini.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Anwar merupakan Ketua Kerajaan Malaysia pertama dalam tempoh 20 tahun yang menerima Kawalan Kehormatan Utama.
“Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin pada hari ini, dijangka sama ada di sebelah petang atau pun awal malam, ia akan disiarkan secara langsung nanti oleh pihak RTM.
“Ini merupakan detik yang bersejarah dan sudah pasti akan memberi peluang untuk hubungan yang lebih erat termasuk hubungan dagang antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin itu di Kremlin, Moscow dijadualkan bermula pada pukul 1 tengah hari (6 petang waktu Malaysia) hari ini.
Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Rusia bermula 13 hingga 16 Mei bagi menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia-Islamic World: KazanForum”.
Di Moscow, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi dengan Putin dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin dalam menilai kemajuan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya perdagangan dan pelaburan. – UTUSAN