Perniagaan serantau perlu tingkat kerjasama rentas sempadan

Perniagaan serantau perlu tingkat kerjasama rentas sempadan

NAZIR Razak pada Pertemuan Pemimpin ASEAN bersama Wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat dan pemain industri di rantau ini disarankan untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta, termasuk memperluaskan jaringan kerjasama rentas sempadan dalam kalangan sektor swasta di ASEAN.

Ini bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serantau dalam suasana global yang tidak menentu.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC), Tan Sri Nazir Razak berkata, semua pihak perlu berganding bahu dan melipatgandakan usaha untuk menjalin kerjasama yang lebih mantap.

“Ini kerana potensi yang boleh dicapai menerusi kolaborasi ini adalah jauh lebih besar berbanding usaha secara berasingan.

“Kami mengambil maklum saranan serta aspirasi yang disuarakan oleh pihak kerajaan dan para pemimpin dan kami komited untuk melaksanakannya.

“Namun begitu, terdapat beberapa perubahan dasar yang jika diperkenalkan, akan memberikan manfaat besar kepada kami, dan inilah yang sedang kami usahakan,” katanya kepada pemberita selepas Pertemuan Pemimpin ASEAN bersama Wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) di sini.

Beliau menambah bahawa meskipun persekitaran global masih dibayangi ketidaktentuan, banyak peluang baharu dapat diterokai khususnya di peringkat domestik dan serantau.

“Fokus kepada kerjasama intra-rantau akan membuka ruang kepada pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran global yang terdedah kepada pelbagai risiko,” katanya.

Beliau membentangkan 12 inisiatif strategik yang dirangka untuk merangsang pertumbuhan dan integrasi ekonomi serantau.

Nazir turut menekankan, meskipun semua pemimpin ASEAN menyambut baik cadangan tersebut, pelaksanaannya memerlukan kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan dan agensi penggubal dasar.

“Kami gembira dengan sambutan para pemimpin terhadap inisiatif ini.

“Namun, kami juga sedar ia memerlukan masa kerana ia melibatkan implikasi dasar yang perlu diteliti secara mendalam oleh pegawai-pegawai kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN