PUTRAJAYA: Permohonan semakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara di atas tuduhan memalsukan dokumen adalah satu tindakan pramatang.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, hal ini kerana penghakiman penuh rayuan akhir tertuduh masih belum siap.
“Disebabkan alasan penghakiman masih belum disiapkan, jadi permohonan (semakan) ini adalah pramatang. Pemohon (Peter) sendiri dalam afidavitnya menyatakan beliau akan memfailkan afidavit tambahan selepas menerima penghakiman penuh.
“Kami tidak menghalang mereka memfailkan semakan tetapi tunggulah penghakiman penuh. Isunya sekarang, penghakiman ringkas tidak mempunyai isu yang boleh saya hujahkan,” kata Wan Shahrudin yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika mengemukakan bantahan awal pendakwaan.
Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang dengan Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Mahkamah kemudian menetapkan Jumaat ini (16 Mei) untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu.
Terdahulu peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Peter turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat permohonan untuk mendapatkan alasan penuh penghakiman, namun ia masih belum siap.
“Pihak kami (pemohon) ada meminta ‘court recording transcription (CRT), namun kami tidak mendapat CRT itu dan yang ada dengan kami hanya nota prosiding sahaja,” katanya yang turut memohon supaya semakan itu diteruskan dengan alasan penghakiman ringkas yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Permohonan semakan itu difailkan Peter pada 14 Mac lalu. Peter kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 4 Mac lalu.
Menurut afidavit yang difailkan, Peter mendakwa panel tiga hakim Mahkamah Rayuan gagal mengambil kira bukti baharu yang dimasukkan sewaktu perbicaraan kes masih berjalan iaitu laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan ketiga yang juga rakan Peter, Mohd. Shukur Mohd Din.
Menurut afidavit tersebut, bukti baharu mampu menimbulkan keraguan munasabah sekali gus membolehkannya dibebaskan daripada sabitan salah dan hukuman penjara dan Peter memohon agar semakannya dibenarkan dan sabitan salah serta hukumannya diketepikan.
Pada 4 Mac lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan akhirnya.
Pada 26 Mei 2022, Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Mahkamah Sesyen kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000. Peter telah membayar denda tersebut dan pada 18 April 2023, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan salah tersebut dan hukuman yang dikenakan terhadapnya. – UTUSAN