RM450 juta atasi banjir di Masjid Tanah

RM450 juta atasi banjir di Masjid Tanah

AB. RAUF Yusoh bercakap dalam sidang akhbar selepas meninjau rumah pam JPS sempena Program WRUR DUN Lendu di Taman Masjid Tanah Ria, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Isu banjir yang kerap melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dapat diatasi tidak lama lagi selepas kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM450 juta bagi pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kelulusan tersebut membolehkan pembinaan RTB sepanjang 15 kilometer (km) dari Sungai Durian Daun hingga ke muara Sungai Kuala Baru.

Menurutnya, menerusi projek itu, empat kolam takungan banjir akan dibina di Kampung Londang, Kampung Jeram, Kampung Lubuk Redan dan Taman Gamelan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat atas keprihatinan meluluskan peruntukan RM450 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda daerah ini terutama menenggelamkan pekan Masjid Tanah pada Ogos tahun lalu.

“Peruntukan yang diluluskan ini merupakan langkah jangka panjang yang diambil kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku dan diharap pembinaan RTB nanti, DUN Lendu tidak lagi dilanda bencana ini,” katanya selepas meninjau rumah pam JPS sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu di Taman Masjid Tanah Ria di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, untuk penyelesaian jangka masa pendek, JPS sedang melaksanakan lima projek mengurangkan risiko banjir menerusi peruntukan berjumlah RM3.3 juta membabitkan pemasangan pam, pembinaan rumah pam, pembinaan infrastruktur pencawang padat elektrik dan kerja-kerja menyelenggara sungai.

Menurutnya, turut dalam fasa pembinaan adalah dua projek pemulihan kolam takungan banjir melibatkan kos RM1.85 juta iaitu Kolam Takungan Banjir Durian Daun dan Kolam Takungan Banjir Solok Duku.

“Secara keseluruhannya, status kamajuan fizikal projek-projek tersebut adalah mengikut jadual yang dirancang dan kesemua projek dijangka dapat disiapkan pada Disember tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN