Perlis Sentral imej baharu Perlis

Perlis Sentral imej baharu Perlis

TERMINAL Pengangkutan Awam Perlis atau Perlis Sentral mula beroperasi sejak 24 Mac lalu bagi menggantikan terminal bas Bukit Lagi di Seriab, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Terminal Pengangkutan Awam Perlis atau Perlis Sentral yang dilengkapi pelbagai kemudahan canggih bakal memberikan keselesaan kepada pengguna sekali gus memberi imej baharu buat negeri ini.

Terminal baharu yang terletak di Seriab di sini menggantikan terminal bas Bukit Lagi yang beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu.

Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kaunter tiket yang beroperasi secara dalam talian dengan kemudahan seperti pembayaran tanpa tunai di samping enam platform masing-masing membabitkan pelepasan serta ketibaan.

Selain itu, terdapat juga enam parkir sementara bas, 25 parkir teksi dan kereta sewa, tempat letak kereta awam, surau, tandas awam, lot-lot perniagaan dan pelbagai lagi kemudahan lain.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, Perlis Sentral yang dibina dengan kos RM20 juta menerusi peruntukan yang Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) itu telah beroperasi sepenuhnya pada 24 Mac lalu.

Katanya, MPK telah dipertanggungjawabkan sebagaimana keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri sebelum ini yang telah bersetuju memutuskan bahawa pengurusan dan pengoperasian Perlis Sentral diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan tersebut.

“Menerusi penyerahan tersebut, MPK diberi kuasa untuk menyelia dan mengutip berkenaan bayaran yang berkaitan bagi mendapatkan hasil dan menampung kos pengurusan bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pengurusan Perlis Sentral antara MPK dan Perlis Sentral Sdn. Bhd di Teluk Bahang, Pulau Pinang semalam.

Perjanjian itu ditandatangani Affendi bersama Pengarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi yang disaksikan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankusa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil.

Tambah Affendi, usahasama dengan pemilihan Perlis Sentral Sdn. Bhd menguruskan terminal tersebut selepas mengambil kira pengalaman luas yang dimiliki syarikat berkenaan di dalam sektor pengangkutan di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN