Perkukuh pegangan sunnah, tolak tahyul dan khurafat - Raja Perlis

Perkukuh pegangan sunnah, tolak tahyul dan khurafat – Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (dua dari kiri) berkenan berangkat merasmikan majlis penutup Perkampungan Sunnah Siri Ke-10 2025 di pekarangan Masjid Alwi di Kangar, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru umat Islam untuk sama-sama memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini yang berlandaskan al-Quran dan sunnah sekali gus menolak unsur tahyul dan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Titah baginda, Perlis merupakan benteng Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sokongan perlu diberikan kepada majlis dan program ilmu, fatwa dan pendirian ilmu serta aktiviti-aktiviti manfaat yang dianjurkan. 

“Negeri Perlis merupakan benteng Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ahli sunah dalam erti kata pegangan yang merujuk kepada al-Quran dan sunah, bukan rekaan apatah lagi tahyul dan khurafat yang diada-adakan oleh segelintir manusia yang mempergunakan nama agama. 

“Pelbagai istilah disalahgunakan seperti ‘ambil berkat’, ‘keluarga Nabi’, mimpi melihat Rasulullah SAW, keramat, wali, barangan peninggalan Nabi SAW dan pelbagai lagi. Puncanya adalah kerana sesetengah pihak tidak menjadikan pegangan dan amalan Nabi SAW serta para sahabat baginda sebagai penanda aras dan rujukan dalam beragama. 

“Maka, di sinilah pentingnya sunah dan pentingnya ‘jamaah’ iaitu jamaah para sahabat Nabi SAW, para ulama salaf dan para ulama yang mengikuti jalan mereka,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri Ke-10 2025 di pekarangan Masjid Alwi di sini, semalam.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tema program Perkampungan Sunnah 2025 yang dianjurkan Jabatan Mufti dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sejak tahun 2015 itu adalah Islam Mengangkat Kebijaksanaan, Meruntuh Kedangkalan 

Program Perkampungan Sunnah merupakan program tahuna di Perlis yang sentiasa mendapat sambutan hebat  para peserta dari dalam dan luar negeri ini termasuk mereka yang datang dari Indonesia, Thailand, Singapura, Kemboja dan Filipina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN