PETALING JAYA: Perhimpunan aman membabitkan pengamal perubatan am swasta akan diteruskan seperti yang dirancang, kata Pengerusi Bahagian Pengamal Perubatan Swasta (PPS), Datuk Dr. Parmjit Singh Kuldip Singh.
Beliau berkata, perarakan anjuran PPS itu adalah untuk menyuarakan kekecewaan dan rasa tidak puas hati yang mendalam daripada warga perubatan swasta terhadap penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Katanya, ia merupakan suatu akta bukan perubatan yang telah digunakan kerajaan ke atas profesion mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pelaksanaan paparan harga ubat.
“Kami telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan untuk memaklumkan pihak berkuasa berkaitan mengenai perhimpunan pada 6 Mei (Selasa) di Putrajaya dan sekiranya tiada sebarang bantahan, ia akan diteruskan seperti yang dirancang.
“Segala tindakan akan dilakukan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Dr. Parmjit Singh, pada perhimpunan itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan beberapa persatuan doktor lain akan menyerahkan satu memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Kami ingin menegaskan bahawa doktor tidak menentang dasar ketelusan harga, namun bantahan adalah terhadap penggunaan Akta 723 terhadap profesion perubatan,” katanya.
Polemik itu timbul susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta 723 berkuat kuasa pada Khamis lalu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sekumpulan doktor sektor swasta akan mengadakan perarakan di Putrajaya, Selasa ini bagi menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan Akta 723.
Perarakan itu dianjurkan oleh Bahagian PPS iaitu salah satu sayap MMA dengan membabitkan doktor daripada hospital dan klinik swasta. – UTUSAN