AI dijangka jadi pemangkin revolusi tenaga di Asia Tenggara

AI dijangka jadi pemangkin revolusi tenaga di Asia Tenggara

WILL HUDSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi pemangkin utama dalam revolusi sektor tenaga di Asia Tenggara. 

Pengarah Tenaga dan Kelestarian, Polisi, Asia Pasifik Microsoft, Will Hudson berkata,  AI dijangka memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dalam kedua-dua sisi penawaran dan permintaan.

Dalam aspek penawaran, beliau menyeru rantau Asia aktif melibatkan diri dalam tenaga bersih serta menggalakkan pembaharuan dasar dan peraturan bagi membuka pasaran tenaga. 

“Dari sudut penggunaan AI, keutamaan perlu diberikan kepada pengoptimuman grid kuasa sedia ada sebagai langkah lebih efektif berbanding hanya membina infrastruktur baharu.

“Pendekatan ini dijangka mempercepatkan peralihan tenaga sambil memenuhi permintaan yang meningkat di rantau Asia,” katanya dalam forum Tenaga AI: memenuhi permintaan tenaga sambil mempercepat peralihan tenaga di Energy Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Sementara itu, Ketua Global Amalan Strategi Tenaga Accenture, David Rabley berkata, penggunaan AI masih lagi berada di peringkat awal.

“AI memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan kepada ekonomi mampan, namun juga menekankan keperluan pendekatan yang berhati-hati dan holistik.

“Syarikat seperti Google dan Amazon versi AI mungkin masih belum muncul dan saya sangat teruja dengan potensi AI dalam menjawab persoalan kemampanan,” katanya. 

Beliau menyatakan aset teragih seperti tenaga solar telah mula menunjukkan manfaat jelas hasil penggunaan AI. 

“Dengan menggunakan AI secara menyeluruh di sepanjang aliran ini, bukan sahaja penggunaan tenaga dapat dioptimumkan, malah kecekapan keseluruhan sistem tenaga dapat dipertingkatkan.

“Pendekatan ini membolehkan tenaga digunakan dengan lebih cekap, kos dikurangkan dan sumbangan kepada kelestarian alam sekitar menjadi lebih signifikan. 

“Justeru, AI bukan hanya alat teknikal, tetapi juga enabler kepada transformasi strategi tenaga yang lebih efektif dan menyeluruh,” ujarnya.

Tambah Rabley, sekiranya  AI boleh terus diperkemas dalam penggunaan tenaganya sendiri, maka ia berpotensi menjadi penyumbang bersih kepada pengurangan pelepasan karbon, bukan sekadar pengguna intensif tenaga.

Mengulas mengenai teknologi tenaga baharu seperti hidrogen dan reaktor nuklear modular kecil (SMR) pula, Rabley menyatakan, AI memang boleh meningkatkan kes daya maju komersial. 

Namun, beliau memberi amaran agar tidak terlalu optimistik terhadap hidrogen buat masa ini, memandangkan ekonominya masih belum kukuh dan ia tidak boleh dimodularisasikan dengan mudah seperti panel solar.

“Bagaimanapun saya memberi keyakinan terhadap peningkatan teknologi tenaga, telah menunjukkan kemajuan ketara dalam 12 bulan terakhir dan berpotensi membawa perubahan besar ke hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN