Perhilitan tangkap gajah liar rosakkan tanaman penduduk - Utusan Malaysia

Perhilitan tangkap gajah liar rosakkan tanaman penduduk

ANGGOTA Perhilitan menjalankan operasi menangkap dan memindahkan gajah liar di Kampung Pecah Batu, Bersia dekat Gerik. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seekor gajah betina yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Pecah Batu, Bersia dekat sini, ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah liar berusia 25 tahun itu ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG), Jumaat lalu.

Katanya, dua gajah denak iaitu Sanum dan Cheri digunakan untuk memujuk dan menarik keluar mamalia dengan berat dianggarkan dua tan ke atas lori.

“Operasi memindahkan gajah ini memakan masa hampir enam jam. Seramai 22 kakitangan Perhilitan dibantu anggota polis terlibat dalam operasi bermula pukul 9 pagi.

“Gajah liar yang berada dalam keadaan sihat itu akan dipindahkan ke kawasan habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tangkapan terhadap gajah itu dibuat selepas menerima laporan penduduk kampung berkaitan kehadiran haiwan liar itu yang dikatakan merosakkan tanaman.

Katanya, berdasarkan aduan, haiwan tersebut mula merosakkan tanaman penduduk seperti getah, pisang dan kelapa sawit di Bersia sejak September tahun lalu.

“Berdasarkan aduan tersebut, kita telah menjalankan kawalan dan menghalau gajah liar itu ke hutan berdekatan sebelum tangkapan dibuat Jumaat lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya