Perhilitan pasang perangkap kamera kesan harimau di Gerik - Utusan Malaysia

Perhilitan pasang perangkap kamera kesan harimau di Gerik

YUSOFF SHARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memasang satu unit perangkap dan perangkap kamera bagi mengesan kehadiran harimau belang di Kampung Star Kechil dekat sini.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan itu dibuat susulan kejadian empat ekor lembu ternakan mati dipercayai diserang haiwan pemangsa itu.

Katanya, kakitangan telah berada di lokasi sejak aduan dibuat pada Sabtu lalu, namun tiada jejak baru dikesan di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, ternakan itu dibunuh namun bukan untuk dimakan. Pemeriksaan di lokasi juga mendapati terdapat kesan kehadiran harimau di kawasan berkenaan.

“Berikutan itu, satu perangkap dipasang bersama perangkap kamera di lokasi dikenal pasti namun sehingga kini tiada jejak baru berjaya dikesan,” katanya ketika ditemui ketika operasi pemindahan gajah liar di Kampung Padang Stang di sini hari ini.

Menurut Yusoff, aduan kehadiran harimau belang di kawasan berkenaan bukanlah pertama kali diterima pihaknya.

Katanya, jumlah babi hutan yang berkurangan antara punca harimau itu keluar dari kawasan habitat asalnya dan mula mengganggu penempatan manusia.

“Berikutan itu, kita melaksanakan projek perintis dengan melepaskan babi yang ditangkap ke hutan berhampiran bagi memelihara haiwan terlindung itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan haiwan pemangsa itu kembali semula ke habitatnya di hutan berhampiran.

“Penduduk dinasihatkan untuk tidak mengambil langkah sendiri atau membuat provokasi sekiranya berhadapan haiwan liar serta melaporkan kepada pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN