BANGI: Suami penyanyi Zehra Zambri, Nur Mohd. Iqwan Samsudin, 42, mendedahkan pergolakan rumah tangga mereka berlaku sejak tahun pertama bergelar suami isteri.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan untuk memperbaiki hubungan itu berakhir sia-sia apabila konflik dalaman rumah tangga terus meruncing dan gagal menemui titik noktah.
“Pergolakan rumah tangga kami berlaku sejak tahun pertama kami menjadi suami isteri iaitu pada tahun 2023. Masa itu saya diuji masalah kewangan.
“Rentetan itu, timbul pula masalah-masalah lain. Pergolakan dalaman itu berpanjangan walaupun selepas masalah kewangan saya selesai.
“Hubungan kami menjadi lebih keruh sekitar tahun lepas ketika dia menyertai Gegar Vaganza 11 (GV11). Banyak teguran dan nasihat saya, antaranya mengenai cara pemakaiannya serta hal membabitkan individu lain, tidak dipedulikannya.
“Hubungan kami juga menjadi semakin keruh bila membabitkan campur tangan orang lain.
Kami cuba memperbaikinya, hadiri sesi kaunseling dan sebagainya namun kesan positifnya tidak berkekalan.
“Sepanjang kami berkahwin, saya tak pernah ungkit tentang kekerasan fizikal yang dilakukannya kepada saya. Namun, apabila dia mengemukan empat tuduhan antaranya dia mengalami penderaan mental dan fizikal, saya tak boleh berdiam diri.
“Itu adalah dakwaannya yang tidak boleh dibuktikan. Ia tidak adil untuk saya. Sebab itu saya dedahkan keganasan yang saya alami di media sosial,” katanya yang ditemui usai prosiding pelantikan Jawatankuasa Pendamai kes cerai pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi di sini, semalam.
Zehra pada 7 Mac lepas memfailkan cerai terhadap suaminya dengan mengemukakan lima sebab tuntutan antaranya tiada persefahaman suami isteri, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian serta perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.
Mahkamah kemudian menetapkan semalam sebagai sesi lantikan JKP selepas suaminya enggan melafazkan cerai.
Namun proses perceraian penyanyi itu diteruskan ke satu lagi tarikh yang telah ditetapkan iaitu 14 Julai ini apabila wakil JKP suaminya gagal hadir ke sesi lantikan JKP semalam.
Dalam pada itu, Iqwan memaklumkan dia hanya mampu membiarkan persepsi negatif yang dilayangkan kepadanya gara-gara dakwaan tidak benar yang dikemukakan Zehra untuk mendapatkan perceraian.
“Ramai yang kecam saya, sifatkan saya lelaki tidak guna, dituduh dayus, culas tanggungjawab dan sebagainya.
“Selagi saya ada bukti, laporan polis dan ikut proses undang-undang, itu sudah cukup menyokong dakwaan saya.
“Orang nak cakap apa, terpulang. Yang menanggung adalah saya. Saya yakin dan percaya, Zehra akan dedah perkara yang sama kalau dia berada di tempat saya,” kongsinya.
Sementara itu, Zehra, 37, memaklumkan akan berkeras dan berjuang habis-habisan untuk menuntut cerai meskipun proses tersebut memakan masa yang panjang.
Katanya, dia hanya mampu berdoa agar Tuhan melembutkan hati suaminya untuk melepaskan dia dengan cara baik.
“Saya tahu proses perceraian ini akan merugikan masa saya. Tapi saya tak ada masalah tentang itu. Saya akan tetap berpegang pada hak saya.
“Isteri dan ibu mana yang nak bercerai? Tapi sudah sampai tahap ini. Bukan mudah untuk tuntut cerai kalau tak ada sebab-sebab yang wajar.
“Apa pun saya harungi, kalau Allah sudah tentukan walau sukar mana pun untuk saya dapatkan hak saya ini. Saya berdoa agar Allah buka hati suami untuk lepaskan saya cara baik,” kongsinya.