PETALING JAYA: Isu perdagangan dan ekonomi seperti pengenalan perbankan Islam dan pembangunan industri halal di Kazan merupakan antara potensi besar yang boleh diteroka Malaysia melalui kerjasama dengan Republik Tatarstan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama dalam bidang pertanian turut diberikan perhatian, khususnya pembangunan baja untuk menjamin sekuriti makanan.
“Saya nyatakan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, kewangan Islam dan industri halal serta menzahirkan penghargaan atas jemputan ke Kazan.
“Kami bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, termasuk menerusi penyertaan aktif dalam Kazan Forum serta penerokaan industri halal dan kewangan Islam yang kian berkembang di Tatarstan.
“Kerjasama dalam bidang pertanian turut diberikan perhatian, khususnya dalam pembangunan baja untuk menjamin sekuriti makanan, di samping membincangkan bidang pendidikan teknikal, teknologi aeroangkasa dan sains,” katanya menerusi kenyataan di platform Facebook.
Anwar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov.
Pertemuan itu diadakan di Kazan Kremlin dan dihadiri oleh Perdana Menteri Tatarstan, Alexey Pesoshin; Timbalan Menteri Tenaga Persekutuan Russia, Roman Marshavin; wakil kementerian dan jabatan republik serta ketua-ketua syarikat utama dalam industri pembinaan mesin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengetuai delegasi terdiri daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan akhbar, Rustam berkata, lawatan Anwar ke Kazan memberi impak yang besar.
“Lawatan anda memberi dorongan kepada kami untuk bekerja dengan lebih giat. Hubungan ini perlu diperkukuh dan ditingkatkan. Ia amat menggembirakan apabila satu delegasi yang berwibawa daripada kalangan perniagaan turut serta dalam forum itu bersama anda.
“Kazan Forum telah diadakan dalam status persekutuan selama tiga tahun dan menjadi platform utama untuk menjalin kerjasama antara Russia dan negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.
“Ia juga satu penghormatan besar bagi kami kerana anda turut serta dalam mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Dunia Islam (bagi forum ini),” katanya.
Lawatan rasmi Anwar ke Russia bermula di Moscow pada 13 Mei dan akan berakhir hari ini.
Republik Tatarstan terletak di bahagian timur benua Eropah di pertemuan Sungai Volga dan Kama, dengan jarak sejauh 797 kilometer (km) dari Moscow.
Ia meliputi wilayah seluas 68,000km persegi iaitu bersamaan saiz negara seperti Ireland, Lithuania atau Sri Lanka.
Sehingga 2022, populasi Tatarstan berjumlah 3.9 juta orang terdiri daripada lebih 70 etnik dengan lebih 50 peratus daripada penduduknya beragama Islam. – UTUSAN