Perarakan bantah papar harga ubat Selasa ini

Perarakan bantah papar harga ubat Selasa ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekumpulan pengamal perubatan swasta akan mengadakan perarakan bagi membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dalam penguatkuasaan paparan harga ubat yang dilaksanakan kerajaan mulai semalam.

Perarakan dijadualkan bermula dari bangunan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya menuju ke Pejabat Perdana Menteri pada 6 Mei ini membabitkan pengamal perubatan sektor swasta dari seluruh negara.

Perarakan bantahan itu dianjurkan oleh bahagian Pengamal Perubatan Swasta (PPS) iaitu salah satu sayap Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Pengerusi PPS, Datuk Dr. Parmjit Singh Kuldip Singh berkata, perarakan bantahan itu dianjurkan bagi menyuarakan perasaan tidak puas hati pengamal perubatan swasta termasuk klinik swasta terhadap penggunaan Akta 723.

“Ia merupakan suatu akta bukan perubatan yang digunakan terhadap sektor perubatan swasta sedangkan persoalan kami masih belum terjawab berhubung pelaksanaan paparan harga ubat di fasiliti masing-masing.

“Ditambah pula dengan isu bayaran konsultasi doktor swasta yang sudah berlarutan sejak 33 tahun lalu masih tidak diselesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka bermula 1 Mei selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.

Tambah Parmjit Singh, perarakan bantahan itu akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dengan kelulusan pihak berwajib.

Sementara itu, MMA dalam kenyataan menzahirkan kekecewaannya terhadap keputusan kerajaan melaksanakan paparan harga ubat dengan hanya memberikan notis sehari sebelum ia digazetkan.

Presiden MMA, Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, sehingga kini kerajaan masih belum menjawab persoalan dibangkitkan persatuan dalam sektor perubatan berhubung Akta 723 tersebut.

Katanya, kerajaan sepatutnya menjawab terlebih dahulu persoalan dibangkitkan sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Ketika mesyuarat advokasi berkaitan ketelusan harga pada Februari lalu, Menteri Kesihatan dengan jelas mengatakan bahawa paparan harga ubat di klinik swasta hanya akan dilaksanakan selepas semakan semula caj konsultasi yang tidak berubah sejak 33 tahun lalu.

“Malangnya, komitmen itu tidak dihormati sedangkan pengamal perubatan menunggu dengan sabar dan berunding dengan ikhlas, namun kerajaan meneruskan pelaksanaan paparan harga ubat secara uniteral (sendirian).

“Tindakan itu adalah sesuatu yang amat mengecewakan dan membimbangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya