Perak usaha selamatkan masjid dibina di tanah wakaf - Utusan Malaysia

Perak usaha selamatkan masjid dibina di tanah wakaf

SAARANI Mohamad menyampaikan kitab bagi tujuan bacaan di masjid, surau diri Jumaat dan surau Taaddud Jumaat seluruh Perak di Tanjung Rambutan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak berusaha menyelamatkan sebuah masjid di kawasan Alor Pongsu yang berdepan kemungkinan akan dirobohkan, susulan isu pindah milik sebahagian tanah wakaf tempat masjid itu didirikan.

Masjid itu tersebut ialah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di mukim Beriah, Bagan Serai yang dipercayai wujud sejak tahun 1931.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara langkah yang sedang dibuat adalah menggunakan sebahagian daripada dana kutipan solat Jumaat dari setiap masjid dan surau dalam negeri ini untuk membiayai penebusan tanah wakaf tersebut.

Katanya, anggaran nilai tanah wakaf berkenaan ialah RM1.8 juta dan beliau melihat kutipan semasa solat Jumaat yang terkumpul mencecah sebanyak RM5 juta hingga RM7 juta sebulan boleh digunakan untuk menyelamatkan masjid di Alor Pongsu itu.

Jelas beliau, sebahagian tanah wakaf itu telah dijual oleh pewaris kepada pembeli bukan Islam yang sekiranya membuat tuntutan, masjid tersebut berisiko untuk dirobohkan.

“Sudilah apa kiranya hendak menunjukkan solidariti umat Islam Perak ini supaya wang tersebut sebahagian daripadanya, Insya-Allah akan digunakan untuk menebus tanah itu yang katanya berjumlah RM1.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian majlis pelancaran kitab bagi tujuan bacaan di masjid, surau diri Jumaat dan surau Taaddud Jumaat seluruh Perak di sini hari ini.

Saarani selaku Exco negeri yang memegang portfolio agama Islam berkata, beliau sendiri telah berbincang dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) dan mengarahkan JAIPk mengeluarkan surat untuk diedarkan kepada masjid dan surau dalam negeri ini berkenaan hal tersebut.

“Kalau tuntutan itu dipenuhi, bermakna masjid tersebut kena dirobohkan sebahagian daripadanya. Malulah umat Islam di negeri Perak ini. Malulah Exco agama Islam negeri Perak ini.

“Saya sudah berbincang dengan Ahli Yang Berhormat (Alor Pongsu). Saya telah maklumkan kepada Pengarah JAIPk dan Yang Dipertua MAIPk. Saya tanya kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk berapakah jumlah pungutan bagi setiap Jumaat,” katanya.

Beliau menasihati setiap tanah yang diwakafkan untuk mendirikan masjid, surau atau sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), dibuat atas nama MAIPk agar tidak berlaku pertikaian tuntutan pada kemudian hari. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya