TANJUNG MALIM: Kerajaan negeri Perak komited menyokong usaha mengatasi masalah malpemakanan kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun terutama melibatkan kanak-kanak Orang Asli dengan pelaksanaan Program Community Feeding (PCF).
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, bermula 2019, kerajaan negeri telah menyalurkan dana sebanyak RM500,000 setahun untuk pelaksanaan PCF.
“Sehingga kini terdapat 39 PCF Orang Asli telah beroperasi di seluruh negeri Perak yang merangkumi 35 di balai dan 4 di rumah sukarelawan.
“Negeri ini paling banyak melaksanakan PCF OA dengan liputan penerima manfaat seramai 918 orang,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada perasmian Projek Rintis Pengumuman Intervensi 1,000 Hari Pertama Kehidupan Di PCF Pos Jernang di Sekolah Kebangsaan Jernang, Sungkai, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Perak, Safuan Raba’ai dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Feisul Idzwan Mustapha.
Sivanesan berkata, projek rintis bertujuan sebagai intervensi daripada peringkat awal membantu memutuskan kitaran masalah pemakanan dan kesihatan yang membelenggu keluarga berpendapatan rendah.
“Kumpulan sasar yang terlibat dengan projek rintis ini adalah kanak-kanak yang berumur satu hingga enam tahun, ibu hamil, lepas bersalin dan juga wanita umur reproduktif berumur 15 hingga 49 tahun yang tinggal di Pos Jernang.
“Intervensi yang akan dilaksanakan antaranya adalah saringan kesihatan, bantuan makanan, aktiviti intervensi secara fizikal dan maya,” katanya.
Ujarnya, program itu bukan bertujuan menjamin kesihatan generasi akan datang tetapi meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pemakanan yang betul untuk keluarga mereka. – UTUSAN