DUNGUN : Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 332.3 Lebuhraya Pantai Timur 2, berhampiran Kuala Dungun, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, Shahrul Isra Razekin, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, berkata, difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kota Bharu, Kelantan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Zontes 368 G, yang ditunggang mangsa sendirian, secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kiri lebuhraya. Motosikal mangsa turut merempuh besi pengadang lebuh raya di sebelah kiri,” katanya kepada pemberita, hari ini. – UTUSAN