Penjenayah mati ditembak di Pulau Pinang miliki 34 rekod jenayah

Penjenayah mati ditembak di Pulau Pinang miliki 34 rekod jenayah

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penjenayah lelaki yang ditembak mati selepas melepaskan tembakan ke arah anggota polis di Jalan Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas di sini, awal pagi tadi memiliki 34 rekod jenayah dan dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 pagi itu, suspek berusia 35 tahun yang memandu kereta BMW bertindak agresif selepas pihak berkuasa memperkenalkan diri semasa menjalankan operasi cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek secara tiba-tiba keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang kemudian terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri.

“Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa suspek maut di tempat kejadian dan polis turut menjumpai sepucuk pistol jenis FNP-45 bersama tiga butir peluru, selain pelbagai senjata dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Hasil siasatan juga mendapati, suspek mempunyai 19 kesalahan lampau jenayah dan 15 kesalahan lampau narkotik,” katanya hari ini.

Tambah Hamzah, antara barangan yang turut ditemukan adalah sebatang besi, dua batang rotan, dua bilah parang, satu alat dipercayai signal jammer (penghalang isyarat), pelbagai jenis pakaian dan peralatan pecah rumah. 

“Turut dijumpai 15 peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat lebih kurang 22.5 gram,” katanya.

Katanya, susulan kejadian, lapan lagi individu terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan dalam tangkapan berasingan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah bersama suspek. 

“Empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah manakala selebihnya tidak memiliki sebarang rekod lampau. Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 25 kes samun, pecah rumah dan pecah dobi di sekitar Pulau Pinang melibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM500,000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN