KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang peniaga kosmetik dan merampas dadah bernilai RM32,000 di sebuah kedai tidak beroperasi di Kampung Paya Keladi di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan pada pukul 8.40 malam dan hasil pemeriksaan menjumpai satu plastik mengandungi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 1.02 kg.
“Rampasan keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM32,000 dan boleh digunakan seramai 6,000 penagih. Lanjutan daripada tangkapan ini, pegawai dan anggota Jabatan SIasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu menyita harta benda milik suspek dipercayai diperoleh hasil jualan dadah dadah bernilai RM981,500,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Khairi berkata, harta benda yang disita itu ialah tiga buah kenderaan iaitu jenis Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Rover serta wang tunai berjumlah RM7,700, selain pelbagai barang kemas seperti gelang tangan, rantai leher dan gelang kaki.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian awal, mendapati suspek positif dadah jenis nimetazepan. Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN