Mercedes-AMG Petronas pacu inovasi tenaga mampan

Mercedes-AMG Petronas pacu inovasi tenaga mampan

TOTO WOLFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mercedes-AMG Petronas  F1 Team bersama rakan teknikal utamanya, Petronas, terus memperkukuh kerjasama strategik dalam inovasi tenaga mampan yang menjadi tumpuan utama dalam industri automotif global.

Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-AMG Petronas, Toto Wolff, menegaskan hubungan jangka panjang bersama Petronas bukan sahaja berasaskan penajaan kewangan tetapi juga nilai bersama dalam inovasi dan kemampanan.

“Petronas adalah nadi kepada prestasi enjin kami. Hubungan ini telah terbina sejak lama dan terbukti membawa kejayaan berganda, termasuk beberapa kejuaraan dunia,” katanya dalam forum Mercedes F1: ‘Kepimpinan di garisan hadapan’ sempena Energy Asia 2025 di sini.

Menerusi kerjasama ini, Mercedes-AMG Petronas dijangka melancarkan enjin hibrid generasi baharu pada musim 2026 yang menggabungkan 50 peratus pembakaran dalaman dan 50 peratus kuasa elektrik, dengan bahan api yang sepenuhnya mampan. 

“Ini menandakan langkah penting dalam usaha mengurangkan jejak karbon dalam sukan bermotor dan menunjukkan komitmen terhadap tenaga hijau.

“Projek pembangunan bahan api 100 peratus mampan ini dianggap sebagai satu cabaran teknologi yang besar namun amat signifikan untuk masa depan tenaga bersih bukan sahaja dalam perlumbaan F1, tetapi juga dalam industri automotif secara menyeluruh,” katanya. 

Menurut Wolff, bahan api mampan merupakan solusi kritikal untuk berjuta-juta kenderaan pembakaran dalaman di seluruh dunia walaupun transformasi ke arah mobiliti elektrik semakin rancak.

“Kerjasama strategik antara Mercedes-AMG Petronas dan Petronas ini bukan sahaja membuka ruang untuk inovasi teknikal, malah turut memberi impak positif terhadap imej jenama kedua-dua syarikat di pentas global, sekali gus mengukuhkan posisi mereka sebagai peneraju dalam industri automotif berteknologi tinggi dan mesra alam,” katanya. 

Wolff berkata, kerjasama ini bukan sekadar komersial, tetapi didasari nilai bersama iaitu inovasi, kemampanan dan daya saing global.

“Daripada bahan api di litar, ke biodiesel dalam trak logistik, hingga kepada bahan api penerbangan mampan, kami ingin setiap aspek operasi kami dikuasakan dengan teknologi hijau,” katanya. 

Dalam pada itu, Wolff berkata, Mercedes turut menekankan usaha memperkasa golongan wanita muda dalam bidang automotif. 

“Di bawah pimpinan Susie Wolff sebagai Pengarah Urusan Akademi F1 , program ini menyediakan laluan profesional untuk pelumba wanita, jurutera dan bakat teknikal lain.

“Malah, Mercedes turut menganjurkan Hari Komuniti di Northamptonshire, United Kingdom yang melibatkan lebih 50 wanita muda menonton perlumbaan Akademi F1 secara langsung sebagai usaha memperkenalkan peluang kerjaya dalam dunia Formula 1,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN