KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga ayam gunting mengalami kerugian sebanyak RM19,050 selepas diperdaya dua wanita dikenali Zaharah dan Maznah yang menyamar sebagai ejen pelaburan, April lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa seorang wanita berusia 38 tahun mendakwa melihat iklan pelaburan saham dalam laman sosial Facebook pada 15 April lalu.
Beliau berkata, mangsa yang tertarik menghubungi suspek dan dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM20,060 dengan modal hanya RM300.
“Setelah mangsa membuat bayaran, dua suspek wanita yang dikenali sebagai Zaharah dan Maznah meminta mangsa membuat sejumlah bayaran lagi bagi mengeluarkan keuntungan berkenaan.
“Mangsa yang terpedaya membuat enam kali bayaran menggunakan wang simpanan, gadaian barang kemas dan pinjaman. Namun, peniaga itu mendakwa belum diberi bayaran keuntungan selepas lebih sebulan,” katanya hari ini.
Azli berkata mangsa yang mengesyaki ditipu telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN