Pengesahan nikah Marissa, Aslam dijangka selesai hari ini - Utusan Malaysia

Pengesahan nikah Marissa, Aslam dijangka selesai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prosiding pengesahan pernikahan pasangan sensasi, Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid dijangka selesai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut peguam syarie mewakili mereka, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, pengesahan pernikahan mereka di Songkla, Thailand pada 27 Disember 2023 itu bergantung kepada keputusan prosiding siasatan pemohon kedua iaitu Marissa.

“Jika hakim berpuas hati dengan prosiding hari ini, Insya-Allah tengah hari nanti semuanya dapat diselesaikan. Dalam sebutan lepas, hakim minta peguam sediakan hujah. Itu isyarat hakim sebenarnya sudah bersedia beri keputusan.

“Kita kena ingat bila seseorang dakwa dia dah bernikah, bawa bukti dan dokumen lengkap, sekali pandang sahaja orang boleh tengok itu bukan palsu.

“Jadi kalau dokumen itu betul, bukan palsu, hakim sudah boleh sahkan pernikahan mereka. Selesai tu maksudnya mahkamah boleh keluarkan perintah dan failkan pengesahan pernikahan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, kelibat Marissa dan Aslam tidak kelihatan di mahkamah meskipun sesi perbicaraan dijadualkan pada jam 10 pagi.

Pada 5 Mei lalu, pasangan itu hadir di mahkamah sama untuk menjalani prosiding pengesahan nikah namun terpaksa ditangguhkan kerana mengalami masalah teknikal pada borang permohonan.

Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.

Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim dan Abby Abadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN