Pengerusi ASEAN: Malaysia berjaya sebagai pendamai

Pengerusi ASEAN: Malaysia berjaya sebagai pendamai

Kejayaan Malaysia sudah terbukti dengan mengambil kira langkah ‘pendamaian’ terhadap beberapa isu yang berlaku membabitkan negara-negara ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari tahun ini, yang merupakan kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967.

Meskipun Malaysia sudah berpengalaman, ternyata cabaran kali ini berbeza. Maka sebab itu usaha dan komitmen diperlukan secara khusus mengenai fokus dan hala tuju yang ditetapkan dalam perbincangan kali ini.

Dalam mentakrifkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, penganalisis Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, kejayaan negara ini sebenarnya sudah terbukti dengan mengambil kira langkah ‘pendamaian’ terhadap beberapa isu yang berlaku membabitkan negara-negara ASEAN.

“Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. Ketika ini ASEAN ada pertikaian dalam isu Laut China Selatan (LCS), tetapi Malaysia tetap ingin membawa isu tersebut ke arah pendamaian. Begitu juga dengan isu gencatan senjata di Myanmar, kita sebagai pengerusi bertindak untuk memberi bantuan dan memastikan kita tahu jalan yang terbaik ke arah pendamaian.

“Jadi, sebenarnya kita sudah nampak kejayaan Malaysia dalam tempoh enam bulan memegang kepengerusian ASEAN, banyak kejayaan yang dilakukan untuk masyarakat, meskipun bergolak sedikit, namun masih boleh didamaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menyorot kepada beberapa pertemuan yang dilakukan sebelum ini, segala perbincangan disusun dengan baik, termasuklah isu mengenai kejayaan kepengerusian ASEAN serta persiapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang dijadualkan pada 26 hingga 27 Mei ini.

Dengan bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, ASEAN kali ini memfokuskan tiga tonggak utama di mana Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan memberi tumpuan kepada memperkukuh Komuniti ASEAN melalui tiga tonggak utama: politik-keselamatan, ekonomi, dan sosio-budaya.

“Ini mencerminkan hasrat Malaysia untuk memupuk ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif, dan mampan, sambil memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya sebelum ini.

Menyentuh isu Laut China Selatan (LCS) serta ekonomi dunia, Mohamad kelmarin sekali lagi menegaskan, jika tidak diurus dengan baik, ia akan menjadi salah satu tempat bermulanya krisis yang melibatkan negara-negara luar.

 

                    Datuk Seri Mohamad Hasan

“Maka sebab itu Malaysia sering menyuarakan yang kita tidak berpihak ke mana-mana, kita bukannya negara yang akan berpihak kepada Amerika, kita bukannya negara yang akan berpihak kepada China.

“Tetapi tanpa penyelesaian, kita adalah persatuan untuk semua orang, kita adalah negara yang berniaga, ekonomi kita adalah ekonomi berniaga, ekonomi perdagangan, kita menjual barang, kita tidak mampu untuk tidak berbaik dengan semua orang ataupun tidak mampu untuk bermusuh dengan seseorang,” katanya.

Malah jelas Mohamad, Malaysia tidak akan mencampuri masalah-masalah negara lain dan akan kekal sebagai negara berkecuali.

“Jika mereka ada masalah dengan negara-negara tersebut, Itu masalah mereka dan kita sebuah negara yang berkecuali, negara yang berprinsip, negara yang tidak akan condong ke mana-mana, tetapi kita negara yang berdaulat, negara yang ada pendirian sendiri,” ujarnya.

Mohamad sebelum ini juga menjelaskan, sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menegaskan komitmennya dalam persidangan kali ini untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon bebas senjata nuklear selaras dengan Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Sebagai Presiden Pelucutan Senjata (CD), katanya lagi, Malaysia berhasrat untuk memudahkan perbincangan yang bermakna ke arah kemajuan ketara dalam pelucutan senjata nuklear, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Salawati berkata, penekanan tersebut penting bagi mengkhususkan penggunaannya secara bersyarat dan bukan bagi tujuan ketenteraan.

“Penekanan itu penting kerana sudah ada penggunaan senjata nuklear di Malaysia dan ia harus berpaksikan kepada kepentingan masyarakat dan alam sekitar serta berteraskan penggunaan tenaga, bukan kepada ketenteraan.

“Sebab kebelakangan ini terdapat negara-negara ASEAN yang menghasilkan tenaga nuklear, dan penegasan Menteri Luar itu adalah bagi mengingatkan semua pihak dalam memastikan Malaysia tidak terjebak dengan penggunaan senjata nuklear. Maka, sebab itu fokus tersebut penting dalam persidangan ASEAN kali ini,” katanya.

Antara lain yang turut menjadi fokus kali ini adalah isu keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN, hubungan luar ASEAN serta perkembangan terkini mengenai Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) yang akan ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Salawati turut berkata, beliau tidak melihat keanggotaannya memberi persoalan besar dalam persidangan kali ini memandangkan Timor-Leste sudah lama menjadi pemerhati, malah telah memenuhi kehendak konsensus ASEAN.

Dalam pada itu, Mohamad sebelum ini turut menjelaskan, Malaysia tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana kuasa besar memandangkan ia merupakan sebuah negara perdagangan yang bergantung kepada hubungan dagang pelbagai hala dengan semua negara di dunia termasuk China dan Amerika Syarikat.

Katanya, pendirian berkecuali ini penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang diyakini dan boleh berurusan dengan semua pihak tanpa prejudis.

“Itu memang pendirian Malaysia sejak merdeka, kita tidak boleh meletakkan Malaysia di mana-mana blok sama ada Russia, Amerika Syarikat mahpun China. Kita berdagang dengan semua, bersahabat dengan semua, jadi jika ada sebarang isu berbangkit, kita akan gunakan saluran diplomatik dan bukan ketenteraan untuk menyelesaikannya.

“Ini kerana kita merasakan itulah penyelesaian terbaik dan memberi kebaikan kepada Malaysia itu sendiri,” ujarnya.

Pada persidangan kali ini juga, para menteri luar ASEAN juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik, serta cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan Gaza antara perkara yang akan dibangkitkan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China minggu depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN