KUALA LUMPUR: Pengasas perkhidmatan teksi premium, Big Blue Taxi, Shamsubahrin Ismail terlepas hukuman penjara tiga tahun selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan rayuannya berhubung kes penipuan kontrak kawalan keselamatan di Menara Berkembar Petronas (KLCC), enam tahun lalu.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa kontrak tersebut tidak wujud sedangkan keterangan saksi-saksi menunjukkan sebaliknya.
Tambah hakim itu ketika membaca penghakiman ringkasnya, saksi-saksi menyatakan bahawa kontrak itu telah dibatalkan oleh pihak lain menyebabkan mangsa yang juga pengadu tidak mendapat kontrak kawalan keselamatan itu.
“Hakim Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira faktor-faktor itu sebelum membuat keputusan bahawa perayu telah menipu pengadu. Syarikat pengadu tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memenuhi kehendak prosedur pendaftaran dan gagal mengemukakan dokumen lengkap yang diperlukan.
“Selain itu, bayaran RM300,000 itu merupakan komisen kepada perayu (Shamsubahrin) sekiranya projek berkenaan diperoleh,” katanya.
Selain itu, Hakim Muniandy menyatakan, elemen ‘mens rea’ iaitu keadaan yang menunjukkan perayu berfikir untuk melakukan kesalahan tidak dinyatakan dalam pertuduhan dan tidak membuat sebarang dapatan mengenai pembuktian elemen tersebut.
“Dapatan bersalah dan sabitan terhadap perayu adalah tidak berpaksikan kepada keterangan yang ada dalam kes serta undang-undang yang terpakai. Oleh itu, rayuannya dibenarkan, sabitan diketepikan dan perayu dilepaskan serta dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan,” katanya.
Pada prosiding hari ini, Shamsubahrin diwakili peguam, Zulkifli Awang mewakili perayu manakala pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam rayuan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah.
Shamsubahrin sebelum ini didakwa menipu seorang ahli perniagaan dengan memperdayakannya bahawa tertuduh boleh mendapatkan kontrak kawalan keselamatan dalam tempoh 30 hari sehingga menyebabkan mangsa untuk memindahkan wang sebanyak RM300,000 ke dalam akaun bank milik sebuah firma guaman yang mana mangsa tidak berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kafe di KLCC di sini pada Oktober 2019 dan pertuduhan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Seramai lima saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula pada 2 November 2022. – UTUSAN