KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat kawalan keselamatan didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa lesen, tahun lalu.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas Harjeet Singh, 64, mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan, jika gagal bayar denda.
Mengikut pertuduhan, Harjeet didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen di Mutiara Gombak, Off Jalan Gombak di sini pada pukul 10.30 malam, 18 Disember 2024.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Agensi Persendirian 1971 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, sepasukan anggota penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya telah menjalankan pemeriksaan di sekitar Gombak di sini.
Hasil siasatan terhadap dua orang pengawal keselamatan warga India dan Pakistan yang bertugas ketika itu digajikan oleh agensi milik Harjeet mendapati syarikat itu telah menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa lesen yang sah.
Dalam prosiding hari ini, pegawai pendakwa, Muhamad Aliff Zahril Mohd Azhar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana melibatkan keselamatan awam dan melibatkan soal keselamatan masyarakat serta tidak boleh dipandang rendah.
Bagaimanapun, peguam-peguam bela, Nor Fazlinda Alimad dan Nur Nadiah Tamby Subyr yang mewakili Harjeet memohon agar mahkamah memberikan hukuman ringan memandangkan ini merupakan kesalahan pertamanya. – UTUSAN