KOTA BHARU: Seorang penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menikam bahagian rusuk abangnya menggunakan tulang ekor pari di sebuah rumah di Bachok, dekat sini, dua minggu lalu.
Mohd. Izwan Sukarnor, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menikam abangnya, Mohd. Fakhran, 40, menggunakan tulang ekor pari.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit, Beris Kubur Besar dekat Bachok, kira-kira pukul 9.30 pagi pada 1 Mei lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda daripada tempoh maksimum yang ditetapkan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes disebut semula pada 16 Jun ini. – UTUSAN