Penganggur dipenjara, sebat rosakkan kuil, ugut

Penganggur dipenjara, sebat rosakkan kuil, ugut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular merosakkan Sullam (tempat sembahyang Hindu) di sebuah kuil dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret Ampang hari ini.

Sufpriyanndi Masyhuri, 34, yang juga penganggur mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan termasuk mengugut untuk memenggal kepala setiausaha kuil berkenaan.

Di Mahkamah Sesyen, Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan terhadapnya selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dua bilah parang dan sebilah keris berhulu kayu tanpa kebenaran di sebuah kuil di Kampung Tasek Ampang di sini, pada pukul 6 pagi, 19 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Normaizan Rahim, Sufpriyanndi dihukum penjara tujuh bulan selepas mengaku merosakkan kuil itu sebagai suatu keaiban kepada agama mereka di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top, Sufpriyanndi dihukum penjara lima bulan kerana mengugut mahu memotong kepala seorang lelaki yang juga setiausaha kuil pada tarikh, masa dan tempat serupa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan secara serentak dari tarikh tertuduh tangkap pada 19 Mei lepas.

Prosiding pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin dan Norhidayah Abdullah Sani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan selepas merosakkan rumah ibadat agama Hindu di Ampang susulan aduan dibuat oleh seorang setiausaha kuil.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN