LENGGONG: Sekumpulan penduduk membuat laporan polis terhadap hantaran Facebook yang didakwa memberi gambaran buruk mengenai kerajaan negeri ini serta Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Wakilnya, Mohd. Razli Ahmad mendakwa pada petang 8 Mei lalu dia telah melayari akaun Facebook bernama Shahrizad Shazali yang berkongsi muat naik daripada akaun yang menggunakan nama samaran Randuk.
“Kenyataan yang telah dimuat naik dalam Facebook ini seolah-olah menghasut dan memberi gambaran buruk terhadap kerajaan negeri Perak serta kepimpinannya.
“Sehubungan itu, saya sebagai seorang rakyat Perak terpanggil membuat laporan polis dan merasakan ia berniat jahat bagi menjatuhkan reputasi serta kredibiliti Menteri Besar, dakwanya selepas membuat laporan di Balai Polis Lenggong di sini hari ini.
Sebaliknya Mohd. Razli mendakwa, isu-isu dibangkitkan dalam laman media sosial itu telah terjawab sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh para Exco berkaitan isu ladang babi yang tercetus sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Tambahnya, isu mengenai Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu juga telah ditangani oleh Saarani serta dibincangkan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) dan kini dalam tindakan.
“Tujuan laporan ini dibuat agar pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan lanjut dan tegas bagi membuat siasatan atas perkara ini,” katanya. – UTUSAN