MELAKA: Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyorok di bumbung bangunan yang sedang dalam pembinaan di Kota Laksamana di sini gagal, hasil bantuan daripada penduduk sebuah kondominium yang menunjukkan lokasi persembunyian tersebut.
Insiden kejar mengejar turut berlaku ketika mereka mengelak daripada dicekup penguat kuasa Jabatan Imigresen dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan rumah kedai, hari ini.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, ada antara mereka sanggup bersembunyi di sebalik timbunan simen yang berdebu, namun berjaya diberkas di dua blok bangunan tiga tingkat itu.
“Semasa serbuan terdapat insiden kejar mengejar di lokasi kedua dan mujurlah tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan mereka berjaya ditahan.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas serta melebihi tempoh masa yang ditetapkan, ada juga pemegang kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959.
“Operasi yang dijalankan ini adalah untuk mengesan, menangkap dan mendakwa PATI serta mengusir mereka keluar dari negara ini jika melanggar peruntukan undang-undang negara,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi.
Tambah Anirwan Fauzee, seramai 170 PATI ditahan hasil daripada keseluruhan 215 warga asing yang diperiksa di dua lokasi.
Katanya, sembilan warga tempatan turut ditahan kerana didapati melindungi pekerja asing yang melakukan pelbagai kesalahan.
“Notis saman turut dikeluarkan kepada kedua-dua majikan di dua tapak pembinaan tersebut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Kesemua PATI dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN