SUBANG JAYA: Ketelusan dalam pengurusan tuntutan insurans terus dipersoal mangsa letupan paip gas di Putra Heights apabila mendakwa wujud klausa berat sebelah dalam polisi yang lebih memihak kepada syarikat.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Topaz, Wong Lhu Yin berkata, terdapat syarat tertentu dalam polisi insurans memberi kelebihan kepada syarikat, sedangkan mangsa terpaksa menanggung beban kewangan dan psikologi.
Katanya, lebih mengecewakan, penilai kerugian datang ke rumah mangsa hanya membuat pemerhatian sambil lewa tanpa penilaian teknikal teliti.
“Terdapat klausa yang seolah-olah digubal untuk melindungi kepentingan syarikat, bukan mangsa. Bahkan, ada yang diarahkan untuk memulangkan wang insurans jika berjaya mendapatkan bantuan.
“Penilaian dilakukan sekadar melihat dari luar, bukan siasatan terperinci. Ini merugikan mangsa yang berhak mendapat pampasan sewajarnya,” katanya ketika ditemui dalam dialog antara persatuan itu dengan penduduk Taman Topaz di sini, semalam.
Seramai 65 wakil penduduk hadir dalam satu sesi dialog awam bagi menyuarakan kebimbangan mereka secara terbuka, sebelum isu tersebut dibawa ke mesyuarat bersama pihak berkuasa dalam masa terdekat
Lhu Yin berkata, isu ketidaksamarataan agihan bantuan turut dibangkitkan oleh penduduk apabila segelintir daripada mereka masih belum menerima bantuan walaupun mengalami kerosakan menyeluruh.
“Ramai yang sudah terlalu lama menunggu bantuan yang dijanjikan. Ada yang telah tersenarai tetapi sampai sekarang belum mendapat apa apa bantuan,” katanya.
Sementara itu, penduduk Azam Mokhtar, 36, menyifatkan sesetengah syarikat insurans tidak beretika apabila menetapkan persetujuan untuk menyaman pihak ketiga sebagai syarat tersembunyi dalam tuntutan.
“Semasa saya diberi surat tawaran tuntutan dari syarikat insuran, saya dapati tandatangan saya turut dianggap sebagai persetujuan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.
“Saya hanya mahu tuntut hak sendiri, bukan terbabit dalam saman yang saya sendiri belum bersedia atau tidak tahu hujung pangkalnya,” katanya. – UTUSAN










