MARAN: “Setelah enam tahun sawit berbuah, pendapatan kami masih di bawah paras kemiskinan. Ini bukan lagi soal sabar, ini mengenai sara diri dan maruah peneroka.”
Demikian luahan 198 peneroka Felda Bukit Tajau di sini yang kecewa pendapatan bulanan diperoleh mereka didakwa tidak sepadan dengan keluasan tanah dan harga semasa buah tandan segar (BTS).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Bukit Tajau, Nor Azhar Abdul Latif berkata, perkara itu sudah banyak kali dibincangkan, namun pendapatan masih di takuk lama.
Katanya, pendapatan bersih sekitar RM1,200 hingga RM1,400 yang diterima peneroka setiap bulan jelas tidak berpadanan dengan keluasan tanah 3.2 hektar seorang dan harga semasa BTS yang kini sekitar RM1,000 satu tan metrik.
“Peneroka minta satu sahaja, pulangan bersih sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, itu pun belum kira hidup selesa,” katanya selepas majlis perjumpaan khas bersama wakil Felda di Pejabat JPKK Felda Bukit Tajau.
Semasa perjumpaan itu, peneroka turut mengadakan demonstrasi secara aman sebagai kemuncak perasaan kecewa terhadap isu berkenaan.
Katanya, pengurusan ladang Felda yang sepatutnya membantu meningkatkan hasil didakwa menjadi punca utama kemerosotan pendapatan apabila banyak kawasan tidak diselenggara rapi dan tumbuh semak, sekali gus menjejaskan produktiviti.
Katanya, situasi itu bukan sahaja menyentuh soal ekonomi keluarga peneroka tetapi mencalarkan imej Felda sebagai institusi pembangunan tanah yang suatu ketika dahulu dibanggakan di seluruh dunia. – UTUSAN