TELUK INTAN: “Laluan ini lurus, kenderaan yang lalu di sini laju, terutama lori sehinggakan saya rasa takut. Saya yang berniaga tepi jalan pun rasa takut melihat kenderaan yang dipandu laju di jalan ini.”
Demikian kata seorang peniaga nasi lemak dan kuih di Kampung Sungai Lampan di sini, Sarinah Hasan, 56, kepada Utusan Malaysia.
Dia yang berniaga berdekatan lokasi kemalangan di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kelmarin mengakui bimbang dengan kenderaan, terutama lori yang melalui jalan tersebut yang rata-ratanya dipandu laju.
Katanya, kebanyakan kenderaan berat terutama lori dipandu laju kerana laluan tersebut lurus dan kemalangan juga kerap berlaku di kawasan yang boleh dikatakan berlaku setiap bulan.
“Semasa kemalangan semalam, saya tidak berniaga. Hari ini apabila kembali buka gerai memang rasa takut-takut sebab baru sahaja berlaku kemalangan mengerikan melibatkan kenderaan besar,” katanya.
Sarinah bersetuju jika lampu isyarat dipasang berdekatan lokasi bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Jika dipasang lampu isyarat mungkin kenderaan akan memperlahakan kenderaan mereka di sini sekali gus mengelak berlaku kemalangan,” katanya. – UTUSAN










