KUALA LUMPUR: `Pencegahan dadah adalah tanggungjawab bersama’ menjadi mesej utama yang diketengahkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi program KL Car Free Morning di Dataran DBKL, hari ini.
Program sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2025 itu diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai platform menyampaikan mesej pencegahan kepada warga kota.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, program seumpama ini mampu memperkukuh peranan komuniti dalam membentuk persekitaran bandar yang bebas daripada pengaruh najis dadah.
“Melalui pendekatan yang lebih sihat dan santai, AADK mendekati masyarakat pelbagai lapisan dengan menggabungkan elemen gaya hidup sihat seperti berbasikal, berjalan kaki, senamrobik dan larian sejauh lima kilometer,” katanya dalam sidang akhbar di Dataran DBKL, hari ini.
Ruslin berkata, data AADK menunjukkan sebanyak 5,800 penyalah guna dan penagih dadah direkodkan di Wilayah Persekutuan sehingga Mac 2025, menurun 13.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu
“Oleh itu, usaha pencegahan harus dimulakan dari akar umbi dan dilaksanakan secara kolektif, terutama melibatkan institusi keluarga dan belia serta sokongan komuniti setempat,” ujarnya.
Tambah Ruslin lagi, kadar penagih masih mencatat 253 orang bagi setiap 100,000 penduduk, menunjukkan ancaman dadah masih perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak berkepentingan.
“Ancaman utama kini tertumpu kepada dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) yang mencatat 65 peratus atau 3,768 orang daripada jumlah penagih direkodkan,” jelasnya.
Penganjuran ini memperlihatkan sinergi AADK dan DBKL serta sokongan padu warga kota dalam menjadikan Kuala Lumpur bebas dadah, disertai lebih 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang menzahirkan komitmen DBKL terhadap usaha memperkukuh pencegahan dadah di ibu negara.-UTUSAN