JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhak memanggil mana-mana individu untuk merakam keterangan sekiranya merasakan terdapat asas untuk siasatan dijalankan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata demikian merujuk pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad yang dipanggil MCMC untuk mengambil keterangan berkaitan hantaran Facebook berkaitan Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, perkara itu dibolehkan walaupun Nurul Izzah tidak membuat laporan berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian internet untuk menyebarkan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.
“Dalam kes membabitkan pempengaruh media sosial (Aliff Ahmad), tak semestinya Nurul Izzah yang membuat laporan, mungkin ada laporan daripada orang lain.
“Biasanya MCMC rasa ada keperluan, maka mereka berhak untuk mengambil tindakan dan menjalankan siasatan berhubung individu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program MADANI Rakyat (PMR) @Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang, di sini hari ini.
Pada 25 April lalu, Aliff dipanggil MCMC untuk memberi keterangan berhubung satu hantaran di Facebook berkaitan Naib Presiden KPR, Nurul Izzah.
Aliff berkata, beliau disoal siasat berhubung tawarannya melakukan carian latar belakang terhadap Nurul Izzah sekiranya hantaran tersebut memperoleh 20,000 perkongsian.
Sabtu lalu, MCMC dilaporkan menggeledah premis milik Aliff dipercayai berhubung siasatan kandungan yang menyentuh isu 3R merujuk agama, kaum dan Institusi diraja.
MCMC melalui kenyataan mengesahkan pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap premis milik pempengaruh itu bertujuan mendapatkan keterangan lanjut berhubung siasatan dijalankan ke atasnya.
“Pemeriksaan terbabit dilaksanakan selepas MCMC memperoleh waran geledah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut peruntukan Seksyen 247 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” menurut kenyataan itu.
Nie Ching yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, beliau tidak mengetahui lanjut sejauh mana perjalanan siasatan yang dijalankan MCMC berhubung kes itu. – UTUSAN