Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya

Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya masih peringkat perbincangan teknikal

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya masih berada di peringkat perbincangan teknikal meskipun beberapa kajian telah dijalankan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian awal telah disiapkan, namun proses selanjutnya melibatkan pembentangan kepada beberapa jawatankuasa teknikal sebelum dibawa ke peringkat dasar dan seterusnya ke mesyuarat Jemaah Menteri.

“Lepas habis kajian, kita perlu bawa ke beberapa jawatankuasa. Selepas itu, baru kita bawa ke bahagian dasar dan mesyuarat Kabinet. 

“Namun, ini bukan perkara yang mudah sebab banyak elemen teknikal perlu diteliti,” katanya selepas melancarkan AI Legal Justice Roadmap dan sesi dialog awam di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, di sini hari ini.

Cadangan pengasingan kuasa antara AG dan Pendakwa Raya sudah lama dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan badan masyarakat sivil.

Ia bertujuan melihat keperluan untuk memastikan kebebasan institusi kehakiman serta mengelak konflik kepentingan dalam sistem perundangan negara.

Laporan interim mengenai pengasingan peranan tersebut dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, tahun ini.

Menjawab pertanyaan sama ada pemisahan itu akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang, Azalina menjelaskan perkara itu masih memerlukan perbincangan berterusan.

Jelasnya, ini kerana ia melibatkan pelbagai aspek termasuk kedudukan kuasa perundangan negeri seperti Sabah dan Sarawak.

“Saya sendiri jawab dalam soalan Parlimen sebelum ini, Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa pendakwaan tertentu. Jadi kita perlu lihat secara menyeluruh,” katanya.

Azalina turut memaklumkan beliau kini terlibat dalam Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen dan berharap kerajaan dapat membuat keputusan selepas semua dapatan kajian dikemukakan.

“Saya harap kerajaan boleh buat keputusan apabila kita sudah bersedia. Kajian sudah ada, kita akan bentangkan nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN