PETALING JAYA: Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail wajar diberi laluan untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu kali ini.
Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Saifuddin merupakan pemimpin yang sangat berpengalaman berjuang terhadap parti dan wajar diberi ruang untuk membantu Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi parti sebagai orang nombor dua.
Menurut beliau, spekulasi mengenai perletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden dan cuti beliau daripada jawatan Menteri Ekonomi menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli parti serta menyentuh kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Rafizi tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri menjawab isu-isu sebegini secara terbuka. Fokus Perdana Menteri seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuhkan ekonomi dan pentadbiran negara, bukan menjelaskan kedudukan seorang menteri atau pemimpin parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Badli berkata, Rafizi perlu segera tampil menjelaskan pendiriannya terhadap jawatan dalam parti dan kerajaan bagi mengelak kekeliruan dan polemik yang boleh merugikan parti.
Katanya, jika benar Rafizi berhasrat untuk mengundurkan diri, langkah paling wajar adalah berkompromi dengan memberi laluan mudah kepada Saifuddin untuk mengambil alih peranan timbalan presiden tanpa perlu dicabar.
“Saya yakin kompromi antara dua tokoh besar ini mampu memberi isyarat positif kepada rakyat dan mengukuhkan keyakinan terhadap PKR, sekaligus menjamin kestabilan politik dalaman parti menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.-UTUSAN