Pemeliharaan warisan penting untuk perpaduan negara

Pemeliharaan warisan penting untuk perpaduan negara

AARON Ago Dagang (tengah) dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Muzium bukan sekadar berfungsi sebagai tempat menyimpan artifak sejarah tetapi juga institusi pemupuk semangat perpaduan dan keterangkuman nasional.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, dengan mendukung transformasi digital, negara bukan sahaja memelihara warisan lalu tetapi turut membentuk masa depan yang lebih baik.

“Malaysia merupakan rumah kepada 232 muzium, merangkumi muzium peringkat Persekutuan, institusi yang dikendalikan oleh negeri, koleksi persendirian dan muzium peribadi.

“Institusi-institusi ini bukan sekadar penjaga sejarah tetapi merupakan pusat yang hidup dan aktif dalam memelihara warisan serta memupuk perpaduan dan keterangkuman nasional,” katanya merasmikan Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 di Bukit Kiara, hari ini.

Seminar bertemakan ‘The Future of Museums in Rapidly Changing Communities’ anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Majlis Muzium Antarabangsa Malaysia (ICOMMAL) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

Menurut Aaron, seminar itu usaha JMM untuk memperkukuh peranan muzium sebagai institusi yang relevan dan memberi impak kepada pembangunan sosial, ekonomi dan budaya baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pengarah JMM dan Pengerusi ICOMMAL, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, seminar memfokuskan kepada tiga sub-tema iaitu Warisan Tidak Ketara, Kuasa Belia dan Teknologi Baharu.

“Seminar ini bertujuan memudahkan pertukaran bermakna pengetahuan dan kepakaran antara profesional muzium antarabangsa dan rakan sejawat di Malaysia.

“Melalui perkongsian ini, kami berharap dapat memperkasakan institusi muzium negara untuk menghadapi cabaran masa depan terutamanya dalam menyesuaikan diri dengan permintaan komuniti yang sentiasa berubah,” katanya.

Tambah beliau, Warisan Tidak Ketara mengingatkan bahawa selain artifak fizikal yang terdapat di muzium, memelihara aspek budaya yang hidup seperti tradisi, bahasa, ritual dan pengetahuan juga sangat penting.

“Kuasa Belia pula berkisar tentang peranan golongan muda dalam membentuk masa depan muzium.

“Manakala Teknologi Baharu menyoroti peranan transformatif teknologi digital dalam sektor muzium termasuk pameran digital, lawatan maya serta pengalaman realiti terimbuh dan realiti maya,” katanya.

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa dirayakan setiap tahun sejak 18 Mei 1977 dan kini merangkumi 158 negara dengan penyertaan lebih 37,000 muzium di seluruh dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN