Pembinaan Dewan Besar Unimap siap Julai ini

Pembinaan Dewan Besar Unimap siap Julai ini

ALEXANDER Nanta Linggi (tiga dari kiri) mendengar penerangan perkembangan projek Dewan Besar Unimap, Pauh Putra, di Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pembinaan Dewan Besar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini yang kos bernilai RM12.6 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai ini.

Setakat 14 April lalu, pelaksanaan projek berkenaan telah mencapai tahap 80.03 peratus meliputi beberapa kerja pembinaan seperti blok dewan besar, pencawang elektrik, rumah sampah, rumah pam, tapak tangki pencegahan kebakaran dan chiller room. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan dewan tersebut bakal menyaksikan Unimap selepas ini tidak perlu lagi menyewa fasiliti lain dari pihak luar bagi acara dan majlis seperti peperiksaan serta istiadat konvokesyen. 

“Dengan siapnya projek ini, istiadat konvokesyen Unimap pada tahun ini juga dapat dilaksanakan di sini untuk kemudahan semua pihak. Perkembangan pelaksanaan projek ini dijangka boleh menepati masa ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan projek tersebut di sini hari ini.

Menerusi pelaksanaan projek pembinaan dewan besar itu, Unimap dijangka dapat menjimatkan kos sewaan dan pengangkutan yang dianggarkan sebanyak RM1.07 juta setahun.

Menerusi lawatan itu, Alexander turut berkesempatan meninjau dua lagi projek iaitu pembinaan masjid dan Pusat Islam Unimap serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Unimap. 

Alexander berkata, status projek pembinaan masjid dan Pusat Islam Unimap setakat 18 April lalu telah mencapai tahap 58.37 peratus dan dijadualkan siap pada Ogos depan dengan menelan belanja sebanyak RM32.68 juta.

“Pembinaan Pusat Pengajian Kejuruteraan Unimap pula telah dimulakan pada 4 Disember 2023 dengan kos keseluruhan sebanyak RM71.56 juta dan dijangka siap Oktober tahun depan,” katanya. 

Dalam pada itu, Alexander berkata, selain meninjau projek di Unimap, pihaknya juga turut berkesempatan melawat beberapa projek jalan raya antaranya dari Kampung Chuping Bawah Bukit ke Guar Musang dan Panggas, Padang Besar. 

Katanya, projek bernilai RM44 juta itu dijangka siap dan boleh digunakan pada Julai depan dan setakat ini, pelaksanaannya telah mencapai tahap 93 peratus. 

“Skop projek ini merangkumi pembinaan jalan sepanjang tiga kilometer, pembinaan sebuah jambatan, pemasangan lampu jalan, pengalihan utiliti dan pengambilan balik tanah,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya