BAGAN SERAI: Pembeli tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di sini memaklumkan dia tidak mengetahui bahawa tanah itu telah diwakafkan oleh pemilik asalnya.
Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusuf Majid berkata, pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Tan itu mendakwa, dia membeli tanah itu daripada broker.
Menurutnya, pihak masjid menyedari sebahagian daripada struktur bangunan dibina atas tanah milik persendirian pada 2015, selepas kerja-kerja mengukur tanah perkuburan dilakukan.
“Asalnya tanah diwakafkan secara lisan kepada pihak masjid, namun telah dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid kepada seorang lelaki bukan Islam dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Kemudiannya tanah itu sekali lagi dijual melalui seorang broker kepada individu bernama Tan yang menetap di Kuala Lumpur. Pemilik baharu tidak mengetahui tanah yang dibelinya adalah tanah masjid yang menempatkan struktur dewan muslimah, tandas wanita dan lebih 30 kubur,” katanya.
Menurutnya, pemilik baharu berasa ditipu dalam urusan pembelian itu dan telah beberapa kali hadir bersama peguam untuk berbincang dengan jawatankuasa masjid.
Katanya, Tan menawarkan dua pilihan, sama ada pihak masjid membeli semula tanah itu atau merobohkan struktur sedia ada.
“Pada awalnya, pemilik tanah menawarkan harga yang sangat tinggi menyebabkan pihak masjid tidak mampu membelinya. Selepas saya mengambil alih jawatan pengerusi, dia sekali lagi datang dan menurunkan harga kepada RM1.8 juta.
“Pihak masjid memohon tempoh untuk mengumpulkan dana dan pemilik bersetuju tanpa menetapkan tempoh, namun mengingatkan tanah itu akan dijual sekiranya ada pembeli dan struktur masjid mungkin akan dirobohkan,” katanya.
Tambah Yusuf, pihaknya ada menerima pertanyaan daripada pendakwah bebas, Firdaus Wong yang berhasrat membantu mengumpulkan dana di platform media sosial miliknya. – UTUSAN