Pembantu perubatan didakwa curi lori

Pembantu perubatan didakwa curi lori

ASRUL Azwan Yunus (tengah) bersama peguamnya membayar jaminan ditetapkan mahkamah selepas didakwa atas pertuduhan mencuri sebuah lori di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pembantu perubatan di sebuah klinik kesihatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah lori milik sebuah syarikat pembekal barangan industri,  tahun lalu.

Asrul Azwan Yunus, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid. Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri sebuah lori jenis Nissan UD milik sebuah syarikat pembekal barangan industri di stor simpanan lori milik syarikat tersebut kira-kira pukul 11 malam hingga 4 pagi, pada 19 Julai tahun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Naabil Mohamed Asri Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan. Terdahulu, Ahmad Nabil mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin diberikan kepada tertuduh. 

Nik Saiful dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin kepada RM5,000 memandangkan anak guamnya perlu menanggung dua anak kecil masih bersekolah yang memerlukan perhatiannya.

“Tertuduh juga hadir sendiri ke mahkamah selepas diberi jaminan polis. Anak guam saya juga tidak berisiko untuk melarikan diri,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar wang jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN