ISKANDAR PUTERI: Pembangunan hartanah yang tidak mengikut spesifikasi semasa dikenal pasti sebagai punca berlakunya banjir kilat di kawasan-kawasan baharu sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memberitahu, pembinaan kolam takungan dan parit monsun perlu diperbesarkan berdasarkan kesesuaian taburan hujan semasa.
“Pembinaan hartanah baharu yang menggunakan spesifikasi tidak relevan dikenal pasti sebagai punca banjir kilat di taman atau kampung bersebelahan. Spesifikasi sedia ada tidak relevan dengan peningkatan taburan hujan sehingga empat atau lima kali ganda ketika ini.
“Oleh itu, pembinaan kolam takungan dan parit monsun perlu diperbesarkan sehingga satu setengah kali ganda untuk mengurangi risiko banjir kilat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri berhasrat mengurangkan sehingga 50 peratus daripada kawasan hotspot banjir di Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kita perlu akui masalah banjir kilat tidak dapat diatasi sepenuhnya hanya dalam tempoh satu atau dua tahun, sebaliknya memerlukan perancangan teliti dan kerjasama semua pihak terlibat.
“Pada tahun ini, 104 projek dengan peruntukan RM106.2 juta telah dirancang untuk dilaksanakan di 16 pihak berkuasa tempatan (PBT). Tahun 2023 sebanyak RM52 juta diperuntuk bagi pelaksanaan 123 projek, manakala RM53 juta diperuntuk untuk 126 projek pada tahun 2024,” jelasnya.
Antara kerja naik taraf dibuat termasuk membina empangan kecil di parit monsun dan menaikkan tembok parit monsun selain meluaskan saliran air di kawasan perumahan. – UTUSAN