Pembangkang sedia perkukuh PDA, pertahan Petronas, kata Wan Fayhsal

Pembangkang sedia perkukuh PDA, pertahan Petronas, kata Wan Fayhsal

WAN Ahmad Fayhsal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) sedia menyokong usaha memperkukuh Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) bagi memastikan Petronas kekal sebagai tonggak pembangunan negara, kata seorang pemimpinnya.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi amaran sebarang langkah boleh melemahkan syarikat minyak negara itu juga boleh menjejaskan peranan pentingnya dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Jika perdana menteri mahu Petronas diperkukuh dari segi tadbir urus dan kebebasan, pembangkang akan menyokong usaha itu untuk memastikan PDA kekal utuh dan berkesan supaya Petronas terus memberi manfaat kepada rakyat.

“Petronas ialah sebuah institusi geoekonomi. Ia bukan sahaja menjana pendapatan negara tetapi membangunkan bakat, membina kepakaran dan berfungsi sebagai saluran diplomatik untuk Malaysia meluaskan pengaruh di luar negara.

“Mengapa kita perlu ‘membunuh’ pemain terbaik dalam pasukan jika kita tidak dapat menghasilkan pemain yang setanding dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang?

Sebagai ahli politik yang memikirkan masa depan negara, saya akan mempertahankan Petronas sehingga ke garisan akhir,” katanya ketika memetik laporan FMT.

PDA memberikan Petronas pemilikan dan kawalan ke atas semua aktiviti huluan dan hiliran minyak dan gas di Malaysia.

Pada masa ini, Petronas dan syarikat minyak kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), sedang berunding berhubung baharu berkaitan hak gas di negeri itu.

Sarawak baru-baru ini mendakwa berhak mengurus dan mengeksploitasi sumber minyak dan gas di dalam dan sekitar negeri itu, walaupun PDA memberikan hak eksklusif kepada Petronas.

Wan Fayhsal mengakui rasa tidak puas hati negeri seperti Sarawak dan Kelantan dalam pengagihan hasil minyak, namun menegaskan sebarang penyelesaian tidak boleh melemahkan Petronas.

“Apa pun isunya, ia mesti dibincangkan di meja rundingan. Penyelesaian mesti bersifat menang-menang dan tidak boleh menjejaskan kekuatan Petronas dalam apa jua keadaan.

“Jika isunya berkaitan royalti, maka kita perlu mencari jalan untuk Petronas meningkatkan pendapatan dan keuntungannya supaya boleh menyumbang lebih banyak kepada negeri-negeri seperti Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran campur tangan politik dalam isu itu, merujuk Pertamina, syarikat minyak milik Indonesia, yang lumpuh akibat campur tangan politik dan rasuah selama beberapa dekad, termasuk skandal penipuan kontrak minyak bernilai USD11.9 bilion.

Keadilan untuk Kelantan Wan Fayhsal turut mengulangi komitmen pembangkang untuk memperjuangkan royalti minyak bagi Kelantan tetapi menekankan keperluan mencari penyelesaian kreatif selain daripada pembayaran tunai semata-mata.“

Kerajaan Kelantan tidak pernah berganjak dalam usahanya menuntut keadilan terhadap royalti minyak yang telah dinafikan kepada rakyat Kelantan selama bertahun-tahun. Tuntutan ini akan terus diperjuangkan oleh semua ahli politik Kelantan, termasuk saya sendiri.

“Pada masa sama, kita faham bahawa perkara ini mesti dilakukan dengan berhati-hati dan tidak menjejaskan pertumbuhan Petronas. Ada pelbagai cara menyelesaikan perkara ini, bukan hanya dengan wang tunai.

“Sebagai contoh, jika Petronas dan kerajaan persekutuan boleh menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Kelantan sebagai ganti kepada royalti minyak, itu boleh menjadi satu penyelesaian yang berpotensi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan rasa tidak puas hati di Sarawak boleh dikurangkan sekiranya kerajaan persekutuan menangani isu asas infrastruktur di negeri itu dengan lebih serius.

“Mungkin (Sarawak) merasakan bahawa mengawal sumber minyak dan gas sendiri akan membantu mereka menyelesaikan masalah ini dengan lebih baik berbanding bergantung kepada projek persekutuan.

“Jika kerajaan persekutuan menunjukkan keikhlasan dan menyelesaikan isu dengan baik, saya rasa kerajaan negeri tidak akan begitu bimbang tentang desentralisasi fiskal,” katanya.

Sarawak kini menerima royalti minyak sebanyak 5% daripada Petronas. Kelantan pula tidak layak menerima royalti berdasarkan tafsiran kerajaan

persekutuan terhadap sempadan perairan laut, yang berasaskan Akta Laut Wilayah 2012.

Sebaliknya, Kelantan menerima bayaran ‘wang ehsan’ daripada kerajaan persekutuan untuk petroleum yang dikeluarkan di luar perairan wilayah negeri itu.tags: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Petros, Petronas, Akta Pembangunan Petroleum 1974. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN