Pemandu Navara langgar motosikal dipenjara 30 hari, denda RM12,000

Pemandu Navara langgar motosikal dipenjara 30 hari, denda RM12,000

PEMANDU Nissan Navara yang tular merempuh motosikal pasangan suami isteri berhampiran Plaza Tol Duta dihukum penjara 30 hari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini. /M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemandu Nissan Navara yang merempuh motosikal dinaiki pasangan suami isteri berhampiran Plaza Tol Duta, Sabtu lalu dihukum penjara 30 hari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, K. Darmaraju, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 10 Mei lalu manakala mahkamah turut membatalkan lesen memandunya selama lima tahun.

Tertuduh juga hilang kelayakan untuk memiliki lesen memandu bagi tempoh sama.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang bekerja sebagai penjual aksesori kereta itu dipenjara 12 bulan sekiranya gagal bayar denda itu.

Kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut pertuduhan, Darmaraju didakwa memandu dengan melulu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Duta pada pukul 2.30 petang, 10 Mei lalu.

Dalam prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa, Inspektor Syazwan Hasifi memohon agar mahkamah memberikan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh manakala peguam bela, S.Vinesh yang mewakili Darmaraju merayu hukuman penjara dan denda ringan atas alasan anak guamnya baru berkahwin dan menanggung kedua ibu bapanya.

“Jika mahkamah memberikan hukuman yang berat, kehidupan kedua ibu bapanya turut terjejas. Anak guam juga memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” kata peguam itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, kedua-dua mangsa sedang menaiki motosikal di lorong paling kiri jalan sebelum didatangi kereta pacuan empat roda yang secara tiba-tiba memotong motosikal itu dengan cara tidak selamat.

Tertuduh kemudian telah melanggar motosikal mangsa dan terus meninggalkan lokasi kejadian selain tidak memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan tersebut.

Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali. Isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.

Video kemalangan itu turut telah tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN