KOTA BHARU: Polis Kelantan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengaitkan kemalangan maut yang meragut nyawa seorang wanita di Kilometer (km) 8.8 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, di sini malam tadi angkara pemandu mabuk.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan selepas sampel darah pemandu tersebut sudah dihantar ke makmal kimia di Terengganu untuk dianalisis.
“Kita perlu lihat laporan makmal barulah tahu sama ada pemandu itu mabuk atau sebaliknya sebagaimana dipertakatan oleh warganet,” katanya pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut manakala lima lagi cedera termasuk dua cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 8.8 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, malam tadi.
Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila Honda City dari arah Ketereh ke Kota Bharu dipercayai terbabas dan hilang kawalan sebelum merempuh belakang kereta Proton Exora dinaiki lima orang termasuk dua warga emas, satu lelaki dewasa dan dua wanita dewasa.-UTUSAN