Pemandu lori simen direman empat hari, gilis wadar penjara

Pemandu lori simen direman empat hari, gilis wadar penjara

PEMANDU lori pembancuh simen berusia 49 tahun diiringi anggota polis selepas dibawa ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka untuk permohonan reman. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemandu lori pembancuh simen yang merempuh dan menggilis seorang wadar penjara wanita dalam nahas di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Sungai Udang dekat sini semalam, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 19 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret N. Sivashangari bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suspek lelaki berusia 49 tahun itu ditahan selepas lori dipandunya dipercayai melanggar mangsa, Amal Nurlidar Ghazali, 42, yang menunggang motosikal Yamaha Ego Solariz.

AMAL NURLIDAR GHAZALI

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang, mangsa yang merupakan sarjan penjara di Penjara Dusun Dato’ Murad disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada muka, kaki dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku ketika lori itu dalam perjalanan dari Bukit Rambai menuju ke Masjid Tanah.

Katanya, setibanya di lokasi lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek sebelum mengelak ke bahu jalan lalu merempuh motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang.

“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Dia telah dibawa ke Hospital Melaka untuk ujian darah bagi pengesanan alkohol selepas keputusan ujian air kencing menunjukkan negatif dadah,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN